Soalan-soalan Lazim

1. Apa yang boleh saya adu kepada Kementerian Wilayah Persekutuan?
2. Adakah sebarang bayaran dikenakan untuk membuat aduan?
3. Bolehkah saya membuat aduan bagi pihak orang lain?
4. Bolehkah saya mengemukakan aduan tanpa memberi nama?
5. Apakah jenis aduan yang boleh diterima oleh Kementerian Wilayah Persekutuan?
6. Adakah semua aduan boleh dirujuk kepada Kementerian Wilayah Persekutuan?
7. Bagaimana cara membuat aduan?
8. Apa yang perlu saya masukkan dalam aduan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan?
9. Apa berlaku kepada aduan saya?
10. Berapa lama Kementerian Wilayah Persekutuan membuat siasatan?

1. Apa yang boleh saya adu kepada Kementerian Wilayah Persekutuan?

Kementerian Wilayah Persekutuan boleh menyiasat aduan-aduan berkaitan tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan pentadbiran agensi-agensi Kerajaan Malaysia di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan (kecuali di Sabah dan Sarawak hanya di peringkat persekutuan) untuk menentukan sama ada tindakan itu salah, tidak adil atau tidak mengikut lunas undang-undang.

2. Adakah sebarang bayaran dikenakan untuk membuat aduan?

Tiada bayaran dikenakan.

3. Bolehkah saya membuat aduan bagi pihak orang lain?

Perlu memaklumkan hubungan anda dengan pengadu. Anda perlu mendapatkan keizinan daripadanya. Bagaimanapun, kami menggalakkan pengadu membekalkan maklumat peribadi termasuk nama, alamat untuk dihubungi dan nombor telefon.

4. Bolehkah saya mengemukakan aduan tanpa memberi nama?

Ya. Kementerian Wilayah Persekutuan menerima aduan tanpa nama atau histleblower’. Pada kebiasaannya kami tidak akan melakukan siasatan melainkan aduan itu membangkitkan sesuatu perkara yang serius dan terdapat maklumat mencukupi dalam aduan untuk membolehkan kami menjalankan siasatan.

5. Apakah jenis aduan yang boleh diterima oleh Kementerian Wilayah Persekutuan?

Jenis aduan yang diterima oleh Kementerian Wilayah Persekutuan adalah mengenai kelewatan / tiada tindakan, tindakan tidak adil, kekurangan kemudahan awam, kepincangan dasar dan kelemahan undang-undang, salah guna kuasa/penyelewengan, salah laku anggota awam, kegagalan mengikut prosedur, kegagalan penguatkuasaan dan kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan.

6. Adakah semua aduan boleh dirujuk kepada Kementerian Wilayah Persekutuan?

Semua aduan boleh dirujuk kepada Kementerian Wilayah Persekutuan kecuali aduan-aduan terhadap dasar Kerajaan, perkara-perkara di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kira-kira Awam, Badan Pencegah Rasuah dan Biro Bantuan Guaman. Kami tidak menerima aduan-aduan yang telah dirujuk kepada peguam atau mahkamah.

7. Bagaimana cara membuat aduan?

Anda boleh mengemukakan aduan melalui telefon, hadir sendiri, menulis surat, faks, laman web kami dan semasa kami mengadakan programprogram bertemu orang ramai.

8. Apa yang perlu saya masukkan dalam aduan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan?

Aduan anda perlu mengandungi maklumat yang mencukupi untuk membolehkan Kementerian Wilayah Persekutuan menilai kedudukannya dan cara terbaik untuk membantu. Kami menggalakkan pengadu membekalkan maklumat-maklumat peribadi termasuk nama, alamat untuk dihubungi dan nombor telefon untuk membolehkan kami melaporkan perkembangan siasatan. Kami boleh merahsiakan butir-butir peribadi ini jika diminta oleh pengadu.

Sila beritahu kami dengan jelas apa yang anda mahu Kementerian Wilayah Persekutuan siasat. Berikan sebanyak mungkin maklumat termasuk salinan-salinan surat atau dokumen yang menunjukkan anda telah berusaha menyelesaikan aduan itu dengan agensi berkenaan. Beritahu kami hasil yang dikehendaki.

9. Apa berlaku kepada aduan saya?

Kementerian Wilayah Persekutuan akan menghantar Surat Akuan Terima kepada anda dengan segera. Kami akan memberi pertimbangan yang teliti ke atas aduan anda. Dalam kebanyakan kes, kami akan menelefon agensi berkenaan atau pegawai yang terlibat dan meminta penjelasan. Kami akan menulis kepada mereka untuk mendapatkan maklum balas dan maklumat yang perlu. Kebanyakan aduan akan diselesaikan di peringkat ini. Sekiranya aduan membangkitkan isu yang serius dan kompleks, atau kami tidak puas hati dengan tindak balas awal agensi, kami mungkin akan membuat siasatan lanjut. Sekiranya kami tidak dapat menerima aduan anda atas sebab-sebab tertentu, kami akan menjelaskannya kepada anda. Anda akan diberitahu perkembangan siasatan.

Sekiranya kami mendapati aduan anda mempunyai asas, keputusannya akan dilaporkan kepada anda dan agensi berkaitan. Kementerian Wilayah Persekutuan mungkin akan mencadangkan supaya agensi menimbang semula atau mengubah tindakan atau keputusan; supaya undang-undang, peraturan atau prosedur dipinda; dan/atau agensi perlu mengambil tindakan lain yang sesuai dengan keadaan.

Kementerian Wilayah Persekutuan tidak boleh menolak keputusan agensi-agensi, atau memaksa mereka mematuhi cadangan-cadangan kami. Bagaimanapun pada umumnya agensiagensi menerima baik cadangan-cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan. Jika mereka tidak menerima dan jika Kementerian Wilayah Persekutuan berpandangan sesuatu perkara itu untuk kepentingan awam, kami boleh bawa isu yang berkaitan kepada Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa mesti dilaksanakan. Kami juga boleh mengemukakan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan orang ramai kepada Jemaah Menteri.

10. Berapa lama Kementerian Wilayah Persekutuan membuat siasatan?

Kami akan menyelesaikan aduan-aduan anda seberapa segera yang boleh. Bagi kes-kes yang rumit yang melibatkan beberapa agensi, ia mungkin mengambil masa untuk menyiasat. Piagam Pelanggan kami menetapkan piawaian perkhidmatan dengan lebih terperinci.